Skip to main content

UTM Jalin Kerjasama Dengan MPPG Bangunkan Taman Komuniti Lestari

JOHOR BAHRU, 5 Jan (Bernama) – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersedia menawarkan kepakarannya dalam membantu menyediakan reka bentuk landskap dan mentransformasikan persekitaran taman-taman komuniti di sekitar kawasan Pasir Gudang, di sini.
Dekan Fakulti Alam Bina UTM Profesor Dr Roslan Amirudin berkata perkara itu akan dilaksanakan dengan bantuan daripada Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dalam membangunkan Taman Komuniti Lestari di sekitar wilayah pentadbiran MPPG.
“Sebelum ini, kita memang telah jalankan kerjasama dengan MPPG cuma ini kali pertama ia dilakukan secara rasmi dan diwujudkan bagi berkongsi kepakaran Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Alam Bina UTM dengan pihak Jabatan Landskap, MPPG dan membangunkan Taman Komuniti Lestari.
Pada tahun 2015, kita telah terlibat dalam pembangunan Kawasan Lapang Flat Taman Mawar, Pasir Gudang dan persekitaran Flat Taman Plentong Utama Johor Bahru dalam usaha menjadikan kawasan ini sebagai contoh kepada pembangunan persekitaran lestari dalam negeri Johor,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di Dewan Aqabah MPPG, di sini hari ini.
Katanya, kerjasama ini merupakan komitmen UTM untuk memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang ada untuk kesejahteraan masyarakat melalui pembinaan beberapa Taman Komuniti Lestari yang dihasilkan melalui reka bentuk yang mampan, kreatif dan inovatif.
“Pembinaan ini juga akan mengambil kira aspek persekitaran dan komuniti supaya taman yang dibangunkan memenuhi aspirasi, keperluan dan cita rasa komuniti setempat,” kata beliau.
Roslan berkata MoA yang dimeterai selama tiga tahun itu akan melibatkan semua pelajar dari semester awal hingga akhir Fakulti Alam Bina.
“Pendekatan mengintegrasikan projek libat sama komuniti adalah selari dengan Pengajaran dan Pembelajaran Alaf Baharu seperti pembelajaran melalui penyelidikan, pembelajaran melalui perkhidmatan dan pembelajaran melalui masalah ,” katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua MPPG Hasrin Kamal Hashim berkata kerjasama itu akan memberi ruang kepada golongan akademik dan profesional melihat sendiri cabaran memenuhi keperluan dan kehendak komuniti dalam menyediakan pembangunan yang mapan.
“Sehingga kini, respons yang kita terima daripada masyarakat amat baik yang mana mereka juga dididik dalam menjaga persekitaran mereka agar sentiasa bersih selain mewujudkan rasa kepunyaan kepada komuniti mereka sekali gus mengurangkan vandalisme,” kata beliau.
Sumber : BERNAMA  (5 Januari 2017)

Comments

Popular posts from this blog

Perasmian Projek Inovasi Kreatif ICC

Gambar

Penyerahan Kunci Bilik Audio Visual, FAB

Gambar

International Sustainable Urban Infrastructure Seminar

The Logistics and Transportation Research Group, Centre for Innovative Planning and Development (CiPD), Faculty of Built Environment, organised a one-day International Sustainable Urban Infrastructure Seminar on 25 th  February 2016 at the Convention Hall, Faculty of Built Environment, UTM, Johor Bahru.  The seminar which was officiated by the Dean of the Faculty, Associate Professor Dr. Roslan Amiruddin is a joint collaboration between CiPD and the Department of Urban and Regional Planning, Faculty of Built Environment, UTM.  Read more... More photos...